MUKADIMAH
Menyedari fenomena keruntuhan akhlak dan kejerebuan nilai yang melanda masyarakat kita dewasa ini terutamanya para remaja pihak kami merasa terpanggil untuk mengorak langkah ke arah membentuk generasi beriman, bertaqwa dan bermaklumat. Pihak sekolah melihat bahawa institusi pendidikan merupakan wadah yang sangat penting dalam menjana pembangunan insan yang dinamis.
Realitinya, kewujudan Maahad Sains Al-Quran Al-Amin (MASAA) pada hari ini adalah selari dengan Dasar Falsafah Pendidikan Negara yang ingin melahirkan generasi yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Justeru, sekolah ini menawarkan kesepaduan kurikulum, agama dan akademik.
Maahad Sains Al-Quran Al-Amin adalah sebuah pusat pendidikan akademik dan tahfiz yang memberi pendidikan kepada masyarakat Islam, anak-anak yatim serta orang-orang susah. Dengan izin Allah telah ramai anak-anak pelajar yang dapat menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Sekolah ini menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh setiap pelajar termasuk guru-guru yang berkelayakan. Perkhidmatan yang diberikan bersifat professional dan efektif.Pun begitu, sekolah ini sangat menitikberatkan perihal agama dan kebajikan pelajar melebihi yang lain. Guru-guru yang berjaya memberikan perkhidmatan terbaik akan diberi ganjaran yang selayaknya.
Semoga sekolah ini mampu melahirkan generasi yang menerima islam sebagai satu cara hidup yang syumul serta mempunyai daya ketahanan diri dalam menghadapi cabaran semasa melalui kaedah pendidikan yang seimbang.